comscore
Tumpuan :
Nasional

CITF, Pihak Berkuasa Jalin Kerjasama Siasat Dakwaan Vaksinasi Palsu

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memandang serius dakwaan mengenai suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tular di laman media sosial.

CITF kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjalankan siasatan berhubung isu terbabit.

Menurut CITF antara kes yang diterima pihaknya adalah melibatkan PPV Kem Lapangan Terbang Sungai Petani.

“Satu siasatan telah dijalankan pihak ATM mengenai kejadian itu di mana individu yang terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan, selaian tindakan tatatertib sudah diambil ke atas petugas vaksinasi berkenaan.

“Dua lagi dakwaan suntikan palsu dimaklumkan kepada CITF berlaku di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dan PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC)”, katanya.

Menurut CITF, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Sekiranya didapati bersalah, pihak CITF tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan petugas yang terlibat dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang berkenaan perkara ini.

Orang ramai turut disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya.

Loading...
Terkini