comscore
Tumpuan :
Nasional

CMCF desak guru tidak jadikan pelajar ‘content’ di media sosial

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Guru didesak tidak menjadikan pelajar mereka sebagai kandungan di media sosial, terutamanya jika tanpa kebenaran ibu bapa.

Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Rafiq Razali, berkata mereka perlu bertanggungjawab berhubung etika digital dalam penghasilan kandungan.

Jelasnya perbuatan berkenaan bukan saja merugikan kedua belah pihak, tetapi boleh dianggap sebagai pencerobohan privasi untuk pelajar dan keluarga mereka.

“Dengan mengambil contoh kandungan tular di media sosial yang membabitkan guru dan pelajar, seharusnya perlu ada langkah proaktif bagi menangani penularan terbabit daripada terus berleluasa.

“Ini sudah pasti untuk menjaga nama baik sekolah atau pun Kementerian Pendidikan (KPM) daripada diberi gambaran negatif dalam masyarakat, selain mengekang penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial membabitkan sekolah, guru dan pelajar supaya ia tidak menjadi tohmahan dan cercaan orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

Kata Rafiq, perguruan dianggap sebagai satu kerjaya yang mulia dan penting dalam membentuk masa depan pelajar.

“Demi memelihara imej dan integriti kerjaya guru tetap terpelihara, mereka perlu menerapkan nilai dan etika untuk memastikan pengalaman pendidikan yang bermakna dan positif.

“Dalam usaha mencapai matlamat itu, sikap berhati-hati ketika memuatnaik kandungan adalah perlu demi memastikan profesionalisme mereka sendiri tidak terjejas,” katanya.

Jelas beliau, CMCF turut menyokong gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya pelaksanaan peraturan dan penguatkuasaan undang-undang diperketat bagi mengekang masalah berkenaan daripada terus berlaku kerana ia berupaya memberi implikasi negatif terhadap kualiti guru.

“Ia juga adalah untuk mencegah para guru daripada menggunakan media sosial untuk tujuan peribadi semasa waktu bekerja.

“Tindakan berhemah dan proaktif dalam menguruskan kandungan di media sosial adalah penting terutama dalam konteks hubungan antara guru, pelajar dan KPM demi memelihara sistem pendidikan di Malaysia,” katanya.

Katanya, perkara berkenaan merupakan langkah strategik dalam era digital untuk menjaga integriti dan reputasi setiap pihak yang terbabit.

“Kesedaran etika digital dan perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama. Kolaborasi antara guru, ibu bapa, dan pihak berkepentingan adalah penting untuk menciptakan lingkungan pendidikan yang holistik dan memberikan manfaat maksimum kepada pelajar.

“Melalui pemahaman dan amalan prinsip-prinsip umum, perlindungan aktif, serta penerapan kod kandungan, kita dapat memastikan para pelajar mendapatkan manfaat maksimum dari terdedah kepada risiko yang tidak perlu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini