Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Contohi semangat dua persahabatan antara Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menjayakan Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semangat itu wajar ada dalam kalangan pemimpin bagi mencari titik persamaan terutama dalam menyelesaikan sebarang tuntutan atau permohonan kepada Kerajaan Persekutuan dan begitu juga sebaliknya.
“Saya bernasib baik sebaik menjawat Perdana Menteri dua sahabat yang saya menaruh keyakinan penuh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bermuafakat bicara dengan terang, tegur dengan baik sebagai sahabat mengeluh, menuntut, tetapi dalam semangat persahabatan untuk jayakan Malaysia negara keramat kita.
“Saya harap pemimpin-pemimpin lain belajar dari semangat yang mereka tunjukkan tidak benar kalau dikatakan mereka tidak menuntut atau tidak mengeluh atau tidak memohon sampai saya juga meminta dan memohon dari mereka, tetapi semangat perpaduan hidupkan dan jayakan Malaysia,” katanya.
Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah. pic.twitter.com/dz3q1conO2
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 16, 2024
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Jelas Datuk Seri Anwar, setiap individu yang menjadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin perlu memimpin seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa, dan agama di segenap kawasan.
“Siapa sahaja jadi Perdana Menteri, Menteri siapa sahaja jadi pemimpin dia mesti memimpin seluruh rakyat dan bangsa Malaysia keluhan anak kecil di Kundasang, atau wanita sarat sakit di Kapit atau Manek Urai di Kelantan, itu keluhan yang harus kita dengar jadi walaupun saya akui ada masalah yang harus kita diselesaikan,” katanya lagi.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut berbangga dengan kejayaan anak Sabah dan Sarawak menerusi Jaguh powerlifting paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin anak kelahiran Serian, Sarawak yang menghadiahkan emas kedua buat kontinjen negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini.
Atlet dari Beluran, Sabah, Eddy Bernard pula meraih pingat gangsa acara 100 meter lelaki T44 (kecacatan fizikal) dengan memecahkan rekod Asia pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France yang juga pingat pertama Kontinjen Malaysia dalam temasya itu.
“Kita tak persoal dari mana dia, suku kaum mana dia, agama apa dia cuma kita bangga anak Malaysia catat kebanggaan menghadiahkan pingat di Sukan Paralimpik Paris 2024 inilah semangat yang kita nak hidupkan di dalam kita dan saya percaya rakyat generasi pimpinan kini harus ambil ikhtibar,” tambahnya.
Datuk Seri Anwar turut menzahirkan keterujaan melihat semangat kira-kira 30,000 pengunjung yang hadir pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 di Padang Merdeka, dengan tidak berganjak walaupun berdepan hujan lebat.
Sambutan Hari Malaysia kali ke-61 itu turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Hadir sama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bersama barisan kabinet Persekutuan serta barisan Kabinet Negeri Sabah dan Sarawak.
Ia turut disertai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk sambutan Hari Malaysia 2024 merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.
Acara bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ itu juga dihadiri Timbalan Menteri dan perwakilan asing.
Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 disempurnakan Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Pelbagai acara persembahan disusun sempena sambutan, antaranya persembahan khas bertajuk ‘Rumah MADANI Jiwa Merdeka’ yang memfokuskan nilai patriotisme, kemerdekaan dan perpaduan antara pelbagai etnik serta budaya di Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.