KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat konsesi lebuh raya antara dua individu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah, Jalan Duta, esok berhubung kes rasuah membabitkan dua projek di Lembah Klang.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah menerima arahan untuk menuduh dua individu berkenaan yang ditahan menerusi Op Lintas baru-baru ini.
“Pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Sesyen Jenayah, Jalan Duta, di sini, pada 9 pagi esok.
“Pada masa sama, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat turut akan dituduh pada tempat dan waktu sama, di sini, esok, membabitkan Op H2O,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan lapan individu termasuk seorang CEO dan dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya direman selepas disyaki meminta serta menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.
Susulan itu, SPRM turut mereman COO syarikat konsesi terbabit kerana disyaki menerima rasuah membabitkan pembinaan projek lebuh raya di Lembah Klang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.