comscore
Tumpuan :
Nasional

COVID-19 dan kenaikan harga barang akibatkan lebih 176,000 usahawan gulung tikar

KUSKOP komited bina kelangsungan momentum pemulihan sektor keusahawanan melalui intervensi bersasar di bawah Pelan Strategik Kementerian 2023. – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seramai 176,426 usahawan menutup terus operasi perniagaan mereka akibat terkesan dengan pandemik COVID-19 sepanjang 2020 hingga tahun lalu selain faktor kenaikan harga barang.

Namun menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, kebanyakan usahawan terbabit menyatakan kesediaan untuk memulakan semula perniagaan dengan bantuan utama diperlukan mereka adalah dari segi geran, pembiayaan, latihan dan bimbingan keusahawanan.

Mengulas lanjut angka usahawan gulung tikar itu, katanya ia diperoleh hasil hasil empat kaji selidik yang dilaksanakan kementeriannya.

“Seramai 104,785 usahawan gulung tikar menerusi kaji selidik yang dilakukan pada April 2020, Jun 2021 (37,415), Februari 2022 (17,371) dan November 2022 (33,838),” katanya menerusi jawapan lisan di laman sesawang Parlimen.

Ewon berkata, kementerian terus komited membina kelangsungan momentum pemulihan sektor keusahawanan melalui intervensi bersasar di bawah Pelan Strategik Kementerian 2023 yang mengandungi 185 program dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 543,080 usahawan dan bakal usahawan.

“Kementerian juga akan meningkatkan program libat urus secara bersemuka untuk lebih responsif terhadap keluhan usahawan di lapangan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan efektif.

“Selain itu, usahawan turut disaran melayari platform sehenti dalam talian, MyAssist MSME, bagi mendapatkan khidmat nasihat dalam talian daripada kaunselor perniagaan, perkhidmatan padanan perniagaan, peluang memasarkan produk dan perkhidmatan serta maklumat mengenai bantuan yang ditawarkan pelbagai agensi pembangunan keusahawanan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi membantu usahawan berdepan masalah pengurusan kewangan serius dan berisiko muflis, kementerian bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk Program Intervensi Peluang Kedua.

“Pada tahun lalu, seramai 664 usahawan diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 40 usahawan dipilih untuk mengikuti Program Bimbingan Khas INSKEN selama empat bulan yang bermula pada 17 Oktober 2022,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini