comscore
Tumpuan :
Nasional

COVID-19: Dua kematian pertama di Malaysia

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia hari ini merekodkan dua kematian pertama akibat COVID-19 membabitkan warganegara tempatan bagi kes ke-178 dan kes ke-358.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, memaklumkan kes ke-178 adalah lelaki berusia 34 tahun yang pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur.

Jelas beliau, mangsa mula mendapat mengalami gejala demam mulai 5 Mac 2020 dan mendapat rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru pada Khamis lalu setelah dikesan positif COVID-19.

“Keadaan beliau merosot dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah. Beliau disahkan meninggal dunia pagi tadi.

“Kes ke-358 membabitkan lelaki berumur 60 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik, mula mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas pada 7 Mac 2020.

“Dia mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak pada Sabtu lalu setelah dikesan positif COVID-19. Keadaannya merosot dan dimasukkan ke ICU, namun disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Dr Adham berkata, 120 kes baharu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah keseluruhan positif COVID-19 adalah 673 kes.

Berdasarkan siasatan awal, daripada 120 kes baharu itu, 95 kes positif COVID-19 adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

“Sehingga kini, seramai 12 kes positif COVID-19 sedang dirawat di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Dalam perkembangan sama, tujuh kes sudah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, seterusnya menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan discaj daripada wad adalah sebanyak 49 kes,” katanya.

Loading...
Terkini