comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] COVID-19: KKM bakal keluar arahan dos penggalak ketiga kepada golongan rentan

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan arahan baharu berkenaan pengambilan suntikan dos penggalak COVID-19 ketiga dalam masa terdekat, susulan peningkatan kes jangkitan sejak akhir-akhir ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bagi meningkatkan perlindungan golongan berkenaan ke tahap optimum daripada jangkitan COVID-19.

“KKM akan keluarkan arahan tertentu mengenai dos penggalak ketiga terutama bagi mereka daripada kumpulan rentan yang mempunyai komorbiditi, berusia (warga emas) kerana mereka terdedah kepada risiko untuk kemudaratan yang lebih daripada (individu) lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KKM bagi bulan Disember 2023, di sini hari ini, iaitu perhimpunan pertama beliau selepas dilantik semula menerajui kementerian tersebut pada Selasa lalu.

Tambahnya, sekiranya arahan itu berkuat kuasa kelak, bekalan vaksin sedia ada masih mencukupi dan belum tamat tarikh luput yang berupaya melindungi penerima daripada strain varian termasuk varian baharu.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 12,757 kes COVID-19 dilaporkan sepanjang Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) bagi tempoh 3 hingga 9 Disember lalu.

Jumlah itu meningkat hampir sekali ganda berbanding 6,796 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, Dr Muhammad berkata, secara keseluruhan keadaan semasa di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada dengan majoriti kes jangkitan hanya mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

Mengulas lanjut, jelas Dzulkefly, Jemaah Menteri telah dimaklumkan mengenai situasi terkini COVID-19 dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Tambahnya, pelbagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan antaranya cuaca, tidak memakai pelitup muka dan pergerakan lebih-lebih lagi menjelang musim cuti sekolah.

Sementara itu, ditanya sama ada KKM akan memperketatkan saringan kesihatan di pintu masuk negara susulan peningkatan kes di negara jiran, ujar beliau, pihaknya akan mempertimbang semua aspek meliputi pelan tindakan sedia ada berkaitan gejala COVID-19.

“Andai keperluan itu timbul, kita akan segera melaksanakan langkah pencegahan dan mitigasi yang lebih sesuai. Kita tidak mahu jadi terlalu alami, pada masa sama tidak mahu meringankan dan tidak mahu mengambil mudah perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Singapura mencatatkan peningkatan jangkitan dan kemasukan ke hospital akibat COVID-19 sekali gus memberi tekanan kepada kemudahan kesihatan di republik itu.

Pada minggu berakhir dari 26 November hingga 2 Disember lalu, seramai 32,035 orang didiagnosis dengan COVID-19 iaitu jumlah jangkitan tertinggi yang dicatatkan tahun ini.

Ia meningkat hampir 10,000 kes berbanding 22,094 kes yang didiagnosis minggu sebelumnya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini