comscore
Tumpuan :
Nasional

COVID-19: Polis Melaka tunggu ‘signal’ MKN, KKM

Foto: Ketua Polis Negeri, Datuk Zainol Samah.

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Polis Melaka sedang menunggu arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menguatkuasakan semula peraturan pemakaian pelitup muka di tempat awam susulan kebimbangan peningkatan kes COVID-19 sejak akhir-akhir ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya kini memantau secara rapi perkembangan semasa berhubung penularan jangkitan itu di peringkat global dan tempatan.

“Buat masa ini, tiada tindakan diambil memandangkan penguatkuasaan di bawah Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sebelum ini telah ditarik balik.

“Namun jika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguatkuasakan semula perintah tersebut dan meminta bantuan polis, barulah kita akan laksanakan semula penguatkuasaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Zainol, penguatkuasaan itu akan turut dilaksanakan semula jika kerajaan negeri melalui Majlis atau pihak berkuasa tempatan (PBT) meminta bantuan polis bagi mencegah penularan pandemik itu.

“Polis hanya membantu dari segi penguatkuasaan. Jika kerajaan negeri menguatkuasakan perintah itu, kita sedia bantu.

“Kita juga sedia bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk bersama menghindari penularan wabak penyakit berbahaya seperti COVID-19,” ujarnya.

Sebelum ini, EXCO Kesihatan dan Antidadah Negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan negeri sedia menguatkuasakan semula pemakaian pelitup muka di tempat awam jika berlaku lonjakan kes COVID-19 dalam tempoh dua minggu akan datang.

Ia susulan kebimbangan mengenai kemunculan varian baharu Omicron BA.5.2 dan BF.7 yang menular dalam negara sejak tahun lalu.

Loading...
Terkini