KUALA LUMPUR: Bahang semakin terasa apabila Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) kini memasuki minggu separuh akhir! Persaingan semakin sengit dengan hanya lima peserta masih berjuang untuk mendapatkan tiket ke pentas akhir.
Minggu separuh akhir Ahad ini bakal menyaksikan Top 5 iaitu Marygrace, Jimi, Zazleen, Mariam, dan Kai Deva membawakan lagu-lagu ikonik OST drama dan filem bertemakan “Melodi Cerita Kita”.
Episod minggu lalu menyaksikan semua peserta berpeluang berduet dengan bintang terkenal seperti Marsha Milan, Aisha Retno, Shiha Zikir, Khai Bahar, Haqiem Rusli, dan Amir Masdi.
Namun, perjalanan Eylia Guntabid terhenti apabila disingkirkan minggu lalu.
Menghangatkan lagi pentas separuh akhir, kumpulan legenda rock tanah air, Search, bakal membuat kemunculan istimewa dengan dua lagu malar segar “Gelora Cintaku” dan “Fantasia Bulan Madu”, yang pasti mengubat rindu peminat.
Menambah keistimewaan minggu ini, penyanyi Shila Amzah, akan menyertai barisan juri tetap Dato’ Yusry, Ziana Zain, dan Cakra Khan.
Sebagai penutup episod separuh akhir, Ade Govinda, komposer terkenal dari Indonesia, akan membuat persembahan duet istimewa bersama Cakra Khan menerusi lagu “Masing-Masing” dan “Kamu Adalah”.
Dengan persaingan yang semakin mencabar, siapa yang akan berjaya menempah tempat ke pentas finale CSOIAM?
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.