Tumpuan :
Dunia Seni

CSOIAM: Tiada penyingkiran di minggu kelima, Top 6 terus berentap!

KUALA LUMPUR: Program realiti paling hangat, Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), mencetus kejutan besar minggu ini apabila tiada penyingkiran diumumkan, memberikan nafas lega kepada semua peserta Top 6.

Bertemakan nostalgia ‘Evolusi AJL’, pentas CSOIAM bergema dengan emosi, kreativiti, dan persembahan luar biasa yang menghidupkan kembali detik-detik indah Anugerah Juara Lagu (AJL).

Minggu kelima dimulakan dengan persembahan bertenaga oleh Akim & The Majistret melalui lagu Saksama dan Obses, diikuti oleh persembahan mantap Naim Daniel dengan Sumpah dan Mainan.

Sebagai kemuncak, legenda Datuk Francissca Peter memukau penonton dengan magis Aku Kehilanganmu, mengimbau kenangan manis AJL musim pertama.

Eylia membuka pentas pertandingan dengan Jampi, menerima komen konstruktif daripada Datuk Yusry, yang menyifatkan persembahannya masih memuaskan walaupun ada sedikit kekurangan. Sebaliknya, Jimi memukau pentas menerusi duet bersama Misha Omar dengan lagu Terima Aku Seadanya, sehingga juri meramalkan kehadirannya di AJL tahun depan.

Marygrace mencuri perhatian dengan Irama, mendapat standing ovation daripada Shiha Zikir, sementara Mariam berani mengambil risiko dengan Madah Berhelah dan berjaya memberi interpretasi tersendiri.

Kai Deva menceriakan suasana dengan Joget Angan Tak Sudah, disertai penampilan khas isterinya, sementara Zazzleen menutup pentas dengan Dari Sinar Mata, yang mendapat pujian atas keunikan suaranya.

Tiada penyingkiran diumumkan minggu ini, namun cabaran semakin sengit minggu hadapan apabila Top 6 akan berduet dengan penyanyi terkenal seperti Marsha Milan, Shiha Zikir, Haqiem Rusli, Khai Bahar, Aisha Retno, dan Amir Masdi dengan tema ‘Saling Menyengat, Fizz Sangat!’.

Keputusan akhir akan ditentukan berdasarkan 40 peratus undian penonton dan 60 peratus penilaian juri profesional.

Saksikan Calpis Soda One In A Million secara langsung setiap Ahad, jam 9.00 malam di TV3, atau strim HD di Tonton. Penonton juga berpeluang memenangi hadiah menarik, termasuk sebuah PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000.

Penonton juga boleh menikmati sorotan eksklusif peserta melalui Fizz Journal, bersiaran setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam.
Teruskan mengundi peserta kegemaran anda untuk membantu mereka mara ke pusingan seterusnya dan merebut hadiah bernilai RM1 juta!

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini