comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas: Beri kebenaran khas pakai pakaian sukan di sekolah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Semua institusi pendidikan diseru untuk memberi pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana memakai pakaian sukan yang sopan ketika cuaca panas.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, pertimbangan itu berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.

“Institusi pendidikan juga perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mematuhi saranan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan seluruh warga institusi pendidikan,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan berkenaan, KPM prihatin terhadap penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca di luar jangka.

Justeru, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah KPM diminta untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan.

Ini termasuk menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas dan memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

Langkah pencegahan lain adalah memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri bagi yang tidak berpuasa atau murid bukan Islam, selain menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.

“(Langkah pencegahan) membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman dan sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas,” menurut kenyataan itu.

KPM berkata, semua institusi pendidikan bawah kementerian juga dinasihati agar sentiasa mengikuti garis panduan yang ditetapkan.

“KPM mengambil berat kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang dilapor berkata, cuaca panas ketika ini dijangka kekal hingga pertengahan April berikutan kurangnya awan yang boleh membawa hujan serta fenomena ekuinoks yang dijangka berlaku Rabu ini.

Beliau berkata, dalam tempoh itu suhu boleh mencecah antara 35 hingga 38 darjah Celsius bergantung kepada kehadiran awan dan hujan pada masa tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini