comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Cuaca panas dan kering: Pengendali air perlu tingkat kecekapan operasi

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JPBN) diminta untuk mengarah pengendali air supaya meningkatkan kecekapan operasi bagi menghadapi cuaca panas dan kering ketika musim Monsun Barat Daya yang melanda bulan ini hingga September nanti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengendali air juga perlu menyediakan sokongan logistik untuk memobilisasi bekalan air ke kawasan terjejas.

“Bagi operasi memadam sebarang kebakaran, agensi-agensi tindak balas pula berada pada tahap siap siaga dengan persediaan logistik sewajarnya untuk menghadapi kebakaran terbuka,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 1 bagi tahun 2024 di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi JPBN, agensi teknikal dan agensi tindak balas.

Menurut Ahmad Zahid, mesyuarat dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi (METMalaysia) bahawa negara dijangka menerima hujan pada paras purata di kebanyakan tempat serta sedikit atas purata di Sarawak dan barat Sabah dalam tempoh Monsun Barat Daya.

Selain itu, METMalaysia juga meramalkan peralihan kepada ‘El Nino and the Southern Oscillation’ (ENSO) neutral dijangka berlaku pada pertengahan tahun ini manakala La Nina dijangka mula terbentuk pada suku ketiga tahun ini.

Buat masa ini, negara sedang berada di fasa peralihan monsun yang dijangka sehingga Mei manakala keadaan cuaca panas terutama di utara Semenanjung telah mula reda.

Secara relatif, Monsun Barat Daya dijangka membawa cuaca lebih kering dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan yang menyebabkan pelbagai impak negatif meliputi kesan kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan atau belukar, jerebu dan sekiranya berpanjangan, berlaku kekurangan hasil pertanian.

“Saya juga telah dimaklumkan oleh Jabatan Alam Sekitar bahawa sejumlah 2,030 kes pembakaran terbuka telah disiasat dengan sembilan kes telah dibawa ke mahkamah, 630 dirujuk ke agensi lain, sementara 100 kompaun berjumlah RM200,000 telah dikeluarkan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 April 2024,” katanya.

Tambahnya, mesyuarat turut mengambil maklum mengenai Sistem Pangkalan Data Hidrogeologi myGEMS milik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta ketersediaan sumber air bawah tanah yang boleh diguna pakai sebagai sumber air alternatif.

Ini termasuk untuk pemadaman kebakaran di kawasan tanah gambut dengan 640 telaga aktif untuk kegunaan domestik dan 104 telaga di kawasan gambut dan hutan berkapasiti 176.13 juta liter sehari (MLD).

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengingatkan semua agensi yang terlibat sentiasa mengambil langkah aktif dalam mengurangkan risiko bencana.

Ia boleh dilaksanakan melalui tadbir urus yang cekap berlandaskan pengurangan risiko bencana dalam perancangan pembangunan, guna tanah, pengurusan air dan penyelenggaraan yang tertakluk di bawah kuasa negeri.

“(Langkah berkenaan) perlu diberikan penekanan bagi mengelakkan bencana dari terus berlaku dan memastikan pembangunan mampan untuk kesejahteraan rakyat khususnya generasi akan datang,” katanya.

Dalam mesyuarat itu, Ahmad Zahid juga melancarkan Buku Garis Panduan Pelaksanaan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) di Malaysia.

Buku garis panduan tersebut bertujuan untuk memastikan program CBDRM dapat dilaksanakan secara efektif di setiap peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Negeri dan Daerah serta menyeragamkan pelaksanaan program selaras matlamat untuk membentuk sebuah komuniti yang berdaya tahan terhadap bencana melalui aktiviti kesiapsiagaan.

Garis panduan yang dihasilkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor serta sokongan agensi kerajaan, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) itu boleh dimuat turun di laman sesawang NADMA di www.nadma.gov.my.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persiapan oleh agensi kerajaan bagi menghadapi cuaca panas dan kering semasa musim Monsun Barat Daya,” katanya.

Loading...
Terkini