comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas: Kerja menoreh diubah ke waktu malam di Kedah

Oleh: Kumaran Rajamoney

CHANGLUN: Keadaan cuaca panas yang direkodkan di negeri Kedah sejak dua bulan lalu menyebabkan sekitar 70 orang penduduk di Felda Laka Selatan dekat sini, mula beralih daripada menjalankan kerja menoreh pada sebelah pagi kepada waktu malam.

Pendekatan diambil selepas cuaca panas pada waktu menoreh menjadi pendek iaitu diantara jam 7 pagi hingga jam 9 pagi.

Pengerusi Biro Ladang Felda Laka Selatan, Mohd. Jamil Shahbidin, 63, berkata, tempoh menoreh yang singkat itu, menyebabkan perolehan hasil juga menyusut.

“Boleh dikatakan hampir 90 peratus penoreh memilih untuk keluar menoreh pada waktu malam kerana tempoh menoreh lebih lama. Cuaca yang lebih sejuk membolehkan kerja dijalankan bermula pukul 9 malam sehingga 4 pagi.”

“Tempoh menoreh yang panjang diperlukan memandangkan hasil yang diperoleh ketika pokok getah menggugurkan daun dan mengeluarkan pucuk baharu akan berkurangan. Kalau siang, hasil sedikit sebab susu getah menitik dua jam sahaja dan jika malam boleh menitik antara tiga hingga lebih lima jam,” katanya kepada Buletin TV3.

Pandangan itu disokong penoreh, Rodhi Md Rejab, 47, yang turut membuat keputusan untuk menoreh pada waktu malam kerana suhu lebih sejuk.

“Pada musim kemarau dan musim daun luruh ini, beza menoreh siang dan malam adalah antara 30 hingga 40 peratus. Contohnya kalau menoreh siang sekarang ini dalam seminggu dapat 200 kilogram (kg) sekerap, kalau malam dalam jangka masa sama akan dapat antara 250 ke 300 kg,” jelasnya yang menoreh di kawasan seluas kira-kira empat hektar.

Namun begitu tambahnya, penoreh perlu lebih berhati-hati dengan haiwan berbisa memandangkan kawasan ladang yang gelap-gelita dengan mereka hanya berbekalkan lampu suluh di kepala.

Katanya, menoreh pada waktu malam bukan perkara baharu kerana ia dilakukan kumpulan penoreh di situ setiap kali tiba musim panas.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan sepuluh kawasan di seluruh negara merekodkan suhu panas tahap berjaga-jaga.

Majoriti kawasan yang direkodkan adalah di Kedah iaitu Pulau Langkawi, Kota Setar, Yan, Pendang, Pokok Sena, Sik, Baling.

Kawasan lain yang turut direkodkan berada dalam keadaan panas adalah Seberang Perai Utara di Pulau Pinang dan Kuala Kangsar, Perak manakala Sabah membabitkan daerah Beaufort.

Untuk rekod, suhu tahap berjaga-jaga merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini