comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas: Perlu kaedah PdP lain jika sekolah ditutup – Ibu bapa

FOTO: NSTP


Oleh Ain Shafiqah Zaki

PETALING JAYA: “Kami akur jika penutupan sekolah adalah pilihan terbaik demi kesihatan anak-anak.”

Itu antara maklum balas segelintir ibu bapa yang ditemui terhadap siaran garis panduan dan pekeliling yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susulan situasi semasa gelombang haba di beberapa lokasi seluruh negara ketika ini.

Meskipun akur, rata-rata ibu bapa berpendapat perlu ada perancangan rapi daripada pihak KPM untuk pelaksanaan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran, (PdP) bersesuaian dengan situasi semasa bagi mengelak keciciran pelajaran berlaku.

Pekerja swasta, Zaleha Sidek, 59, berkata perkara itu wajar dilakukan namun ibu bapa memainkan peranan penting dengan memastikan pelajaran anak-anak tidak terabai.

“Memandangkan cuaca panas yang tidak menentu disini, tambahan pula kes strok haba yang berlaku baru-baru ini, seeloknya anak-anak dikawal di rumah,” katanya.

Penjawat awam, Zatur Rawiah Mohd Yusof, 43, pula berpandangan bahawa KPM perlu memperhalusi kaedah yang sepatutnya supaya tiada pihak yang terpaksa menanggung mudarat.

“Bila sekolah dilanjutkan cuti atas sebab cuaca, sudah pasti akan berlaku PdPR, kita akan kembali ke zaman pandemik seperti sebelum ini.

“Ikutkan PdPR ini sebenarnya pelan sandaran jika pelajar tidak kembali ke sekolah, jadi objektif dan keberkesanannya agak berbezalah berbanding pembelajaran secara bersemuka.

“Justeru, pihak KPM memainkan peranan untuk melaksanakan kaedah pembelajaran yang efektiflah kerana tidak mahu isu keciciran pelajar,” jelasnya.

Loading...
Terkini