comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas tidak halang pelancong beriadah di Langkawi

Sebahagian pelancong tempatan dan asing menunggu giliran menaiki bot pelancong untuk aktiviti ‘island hopping’ di Jeti Pelancongan Kuah, Langkawi.- Foto: NSTP

LANGKAWI: Keadaan cuaca panas dengan suhu harian maksimum mencecah 37 darjah Celsius tidak menghalang pelancong untuk terus beriadah di pulau ini.

Malah aktiviti harian penduduk tempatan juga bagaikan tidak terjejas.

Tinjauan di Jeti Pelancongan Kuah mendapati, ratusan pelancong tempatan dan asing berbaris menunggu giliran menaiki bot pelancong untuk aktiviti ‘island hopping’ di sekitar pulau ini sejak awal pagi.

Bagi aktiviti itu, pelancong dibawa melawat tiga pulau popular iaitu Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar dan Pulau Beras Basah dalam tempoh antara tiga hingga empat jam.

Pelancong, Jiang Tingrun, 42, dari Chengdu, China berkata cuaca panas tidak menghalang dia bersama isteri, Li Zhiheng, 39, serta dua anak mereka untuk melakukan aktiviti jelajah pulau yang ditempah menerusi agensi pelancongan.

“Selagi tidak memudaratkan kesihatan tiada masalah bagi saya dan keluarga untuk melakukan aktiviti luar sepanjang bercuti selama tiga hari di pulau ini, tapi kami banyak minum air untuk elak dehidrasi,” katanya.

Penduduk tempatan, Abdul Ghani Abdullah, 33, pula mengakui tidak bimbang melakukan aktiviti rutin sebagai pemandu bot pelancong kerana sentiasa minum air kosong yang banyak untuk mengelakkan badannya kurang air.

“Melakukan apa kerja pun dalam keadaan cuaca panas seperti sekarang, semua orang perlu minum air kosong dengan banyak,” katanya yang menetap di Kampung Penarak di sini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) semalam menyenaraikan Langkawi antara empat daerah di Semenanjung berdepan cuaca panas Tahap 1 (berjaga-jaga) selama tiga hari berakhir esok.

Tiga lagi daerah yang turut mengalami cuaca panas tahap satu itu adalah Pokok Sena di Kedah, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang.

Menurut MetMalaysia untuk Tahap 2 (Gelombang Haba); suhu maksimum harian adalah melebihi 37 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Manakala bagi Tahap 3 (Gelombang Haba Ekstrem); suhu maksimum harian adalah melebihi 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini