
KOTA BHARU: Awan yang berkurangan menyebabkan beberapa daerah di Kelantan terutama Jeli dan Kuala Krai dilaporkan berdepan cuaca sejuk terutama pada waktu pagi.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kelantan Mohd Sani Saayon bagaimanapun berkata, situasi itu adalah biasa.
Katanya, keadaan suhu masih seperti biasa terutama bermula waktu tengah hari dan suhu sejuk itu bukannya berterusan sepanjang hari.
“Saya tidak dimaklumkan lagi suhu di daerah tertentu sehingga mencatat 18 darjah celcius sebagaimana dilaporkan pihak tertentu, saya sendiri tidak tahu bagaimana mereka membuat pemeriksaan suhu kerana saya tidak dimaklumkan suhu serendah itu.
“Kebiasaan suhu di daerah berkenaan termasuk Jeli dan Kuala Krai pada waktu pagi adalah sekitar 22 hingga 23 darjah celcius dan naik kepada lebih 30 darjah celcius pada waktu tengah hari.
“Situasi sejuk ini bukan sebagaimana yang ditularkan. Saya bimbang sekiranya tular mengenai tidak betul ia menjadi kebimbangan kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, cuaca yang dialami kini di beberapa daerah adalah perkara biasa dan tidak perlu diperbesarkan.
“Melainkan suhu 20 darjah celcius dari pagi sehingga tengah hari dan malam, itu barulah kita boleh kata sejuk. Ini sebaliknya pakai baju sejuk waktu pagi dan tengah hari terpaksa buka semula sebab cuaca kembali panas,” katanya.
Media sebelum melaporkan, Kuala Krai berdepan cuaca sejuk sehingga suhu mencecah 18 dan 19 darjah celcius pada awal pagi selain keadaan berkabus.
Malah ada penduduk menyamakan mereka seperti berada di Cameron Highlands kerana cuaca sejuk.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.