comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca Signifikan Jejas Keselamatan Operasi Penerbangan – MetMalaysia

PETALING JAYA : Fenomena cuaca signifikan seperti ribut petir, hujan lebat beserta angin kencang boleh menjejaskan keselamatan operasi penerbangan, terutamanya bagi pesawat ringan termasuk helikopter yang melakukan penerbangan pada aras rendah.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, negara pada ketika ini sedang berada di dalam fasa peralihan monsun yang dijangka berlaku sehingga bulan November depan.

“Di dalam tempoh ini, secara amnya, corak tiupan angin adalah lemah dari pelbagai hala yang kondusif bagi pembentukan awan yang boleh menyebabkan kejadian ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang pada sebelah petang hingga ke awal malam.

“Keadaan ini cenderung terbentuk di tengah dan pedalaman serta negeri-negeri sebelah barat Semenanjung, tengah dan utara Sarawak, Labuan dan juga barat Sabah,” jelas beliau .

Beliau berkata, lazimnya, laporan berkaitan insiden berkaitan penerbangan akan dikendali oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Manakala siasatan teknikal mengenai pelesenan serta kesahihan operasi helikopter dilakukan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“METMalaysia akan menyediakan laporan berkaitan cuaca apabila dikehendaki oleh pihak BKSU dan CAAM”, katanya..

“METMalaysia adalah agensi yang bertanggungjawab dalam menyediakan produk-produk berkaitan pencerapan, ramalan dan amaran cuaca penerbangan secara rutin kepada agensi-agensi dan syarikat-syarikat penerbangan,” katanya.

Muhammad Helmi berkata, selain itu, METMalaysia juga sentiasa menerima permohonan dan membekalkan maklumat cuaca berkaitan kawasan dan laluan penerbangan yang spesifik.

Rabu lalu, semua enam mangsa sebuah helikopter terselamat selepas pesawat itu tersangkut pada pokok ketika melakukan pendaratan cemas di Brinchang dekat Tanah Rata .di Cameron Highlands.

Sewaktu kejadian, keadaan cuaca buruk kerana hujan dengan keadaan berkabus, selain faktor tiupan angin. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini