comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuba ‘suap’ JPJ RM500, dua lelaki dipenjara 3 hari

Foto: NSTP

SEREMBAN: Penyelia kilang dan ejen syarikat ais mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan memberikan rasuah RM500 kepada Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kelmarin.

Tertuduh, Yam Seng Chaow, 26, dan P Pubalan, 41 dijatuhi hukuman penjara selama tiga hari bermula dari tarikh tangkap dan denda RM10,000 selepas membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi sejurus pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua telah secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang tunai RM500 kepada seorang Pegawai JPJ Negeri Sembilan.

Ia sebagai dorongan kepadanya untuk tidak melakukan sesuatu perkara yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya, iaitu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu lori yang melakukan kesalahan memandu tanpa lesen memandu (CDL), tiada lesen kenderaan barangan (GDL) dan cukai jalan tamat tempoh.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Rasah, di sini, kelmarin.

Dengan itu tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Peguam M Siveram yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda dan penjara paling minimum dengan mengambil kira pengakuan bersalah mereka.

Siveram memaklumkan isteri Seng Chaow sedang hamil empat bulan dan memerlukan lelaki itu lebih-lebih lagi sambutan Tahun Baru Cina bakal tiba tidak lama lagi.

Manakala Siveram memberitahu mahkamah Pubalan adalah penanggung utama keluarga selain perlu menjaga seorang datuk yang uzur.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini