comscore
Tumpuan :
Nasional

Cubaan seludup 10,175kg minyak masak paket ke Thailand, digagalkan JKDM 

 

KOTA BHARU: Pangkalan haram di Kelantan dikenal pasti menjadi lokasi pilihan sindiket penyelewengan minyak masak subsidi untuk menyeludupnya ke negara jiran.

Taktik sindiket ini berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan lalu merampas 10,175 kilogram (kg) minyak masak paket awal pagi semalam.

 

Serbuan jam 4 pagi itu dilakukan JKDM di Jambatan Kampung Kubang Panjang, Tumpat, sebelum dua lelaki tempatan iaitu pemandu lori dan pembantunya berusia awal 30-an diberkas.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata, pihaknya menjalankan intipan selama 14 hari sebelum serbuan dilakukan.

“Hasil siasatan mendapati bekalan minyak masak subsidi bernilai RM20,350 itu dipercayai dibawa dari Ipoh, Perak dan mahu diseludup ke negara jiran.

“Selain bekalan minyak masak, kami turut merampas lori dianggarkan bernilai RM70,000,” katanya sidang media yang turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail di sini, tadi.

Mengulas lanjut katanya, modus operandi yang digunakan kumpulan sindiket berkenaan adalah dengan menghantar bekalan minyak masak itu melalui pangkalan haram.

“Sindiket berkenaan juga menggunakan pelbagai jenis kenderaan untuk kegiatan haram itu.

“Hasil soal siasat juga mendapati pemandu dan pembantunya menerima upah RM300 untuk menghantar bekalan minyak masak berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya sudah menjangkakan permintaan terhadap minyak masak paket bersubsidi dari negara jiran meningkat ketika Ramadan.

Bagaimanapun katanya, penguatkuasaan dan pemantauan daripada pihaknya akan ditingkatkan dan diperketatkan terutama di kawasan sempadan iaitu Tumpat, Rantau Panjang serta Tanah Merah.

“Beberapa faktor yang menyumbang kepada kegiatan penyeludupan minyak subsidi ke negara jiran adalah faktor halal dan harga murah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini