comscore
Tumpuan :
Nasional

Cubaan seludup 20 tan bijih timah, 6 rakyat Indonesia ditahan

FOTO: Maritim Malaysia

MERSING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan kapal kargo sarat dengan 20 tan serbuk bijih timah dianggarkan bernilai RM2.6 juta dipercayai cuba diseludup ke negara ini dari Indonesia, semalam.

Pengarah APMM Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, kapal kargo berkenaan ditahan di kedudukan 0.9 batu nautika timur Tanjung Kempit di sini kira-kira jam 5 petang.

Beliau berkata, kapal kargo terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh bot ronda APMM yang melakukan Op Jaksa dan Op Tiris.

“Pemeriksaan mendapati nakhoda kapal itu bersama lima kru yang semuanya warga Indonesia berumur 22 hingga 46 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Mereka gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mengangkut barang berduti tanpa kebenaran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, serbuk bijih timah berkenaan akan dihantar ke jeti di Tanjung Gemok, Rompin, Pahang sebelum diproses menjadi jongkong bagi kegunaan pelbagai industri.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

Jika sabit kesalahan, bagi kesalahan pertama denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM50,000.00 mana yang lebih tinggi atau penjara tidak lebih daripada 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini