comscore
Tumpuan :
Nasional

Cubaan seludup biji benih sayur dari Bangladesh berjaya dipatahkan MAQIS

Pelbagai jenis benih sayur cuba diseludup masuk dari Bangladesh oleh dua warga negara itu di KLIA pada Jumaat lalu

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk biji benih sayur berdaun dan berbuah dari Bangladesh.

MAQIS melalui kenyataannya memaklumkan, biji benih yang cuba dibawa masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat lalu itu tidak mempunyai dokumen sah seperti Import Permit dan Sijil Fitosanitasi.

“Berdasarkan pemeriksaan di laluan penumpang antarabangsa, kira-kira jam 6 petang, mendapati jumlah kuantiti yang ditahan adalah sebanyak 160 paket.

“Biji benih itu membabitkan sayur berdaun dan berbuah seperti bayam hijau, sawi, lobak putih, lobak merah, terung, labu, timun, peria, kangkung, terung dan tembikai susu, bagi tujuan untuk ditanam di negara ini.

“Biji benih yang dianggarkan bernilai RM500 itu dibawa masuk oleh dua warga Bangladesh,” katanya.

MAQIS menjelaskan, penahanan biji benih yang dibuat dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu dibuat bertujuan mengawal kemasukan perosak, penyakit dan kulat daripada biji benih yang diseludup itu serta boleh mendatangkan risiko kepada industri pertanian negara sekiranya tidak dikawal.

Menurutnya, perkara ini boleh menyebabkan industri pertanian negara menanggung kerugian yang tinggi sekiranya penyakit ini tidak dikawal.

Katanya, perbuatan membawa masuk biji benih tanpa permit yang sah dari MAQIS menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“MAQIS sentiasa bersedia dalam melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian yang masuk ke negara ini mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan oleh rakyat,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini