Tumpuan :
Nasional

Cubaan seludup dadah ke negara jiran bernilai RM360,000 gagal

FOTO: Ihsan APMM Johor

Oleh: Zahir Senapiah

PONTIAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor mengagalkan satu cubaan menyeludup dadah bernilai RM360,000 ke negara jiran, kira-kira 0.5 batu nautika barat laut muara Sungai Rambah, dekat sini, pagi semalam.

Pemangku Pengarah APMM Johor, Kepten Maritim, Kama Azri Kamil berkata, sebuah bot ronda Maritim berjaya mengesan sebuah bot fiber berwarna biru dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 1.15 pagi.

Menyedari kehadiran bot Maritim Malaysia, bot fiber memecut laju menuju ke perairan cetek.

Seorang suspek berjaya meloloskan diri ke kawasan paya bakau dan meninggalkan bot fiber terbabit.

Susulan itu, anggota Maritim memohon bantuan bot Maritim yang lain bagi mengambil dan membawa bot fiber terbabit.

“Hasil pemeriksaan anggota APMM menemui sebuah beg galas hitam yang mengandungi lima bungkusan dadah seberat lima kilogram disyaki syabu dan satu bungkusan pil seberat 1.2 kilogram disyaki pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM360,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut ditemui sebuah telefon bimbit dan plastik bungkusan teh cina yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah terbabit.

Bot fiber, enjin dan dadah terbabit dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini