comscore
Tumpuan :
Nasional

Cubaan seludup minuman keras dengan ikrar palsu digagalkan Kastam

Norlela (dua dari kanan) menunjukkan minuman keras yang dirampas menerusi dua serbuan berasingan di Pelabuhan Utara, Klang, Selangor.-Foto Ihsan JKDM


KUALA LUMPUR: Cubaan menyeludup masuk minuman keras melalui Pelabuhan Utara, Klang, Selangor, berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi dua serbuan berasingan pada Ogos dan awal bulan ini.

Taktik sindiket yang membuat pengikraran palsu terhadap 4,902 liter minuman keras bernilai RM305,000 itu terbongkar hasil pemeriksaan dilakukan terhadap dua kontena.

Penolong Ketua Pengarah Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail berkata, serbuan pertama jam 5.15 petang pada 30 Ogos lalu susulan maklumat awam dan risikan dijalankan pasukan dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah.

“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah muatan minuman keras dengan kuantiti sebanyak 1,372 liter dianggarkan bernilai RM7,500 dengan nilai cukai mencecah RM17,350.

“Semakan lanjut mendapati pihak penghantar membuat pengikraran palsu iaitu perabot bagi mengaburi pihak berkuasa. Sindiket cuba mengelak dikesan dengan meletakkan barang dagangan itu di bahagian belakang kontena bersama barangan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya mengenal pasti forwarding agent atau ejen penghantaran dan individu terbabit sudah dipanggil membantu siasatan bagi mengesan pihak pengimport yang terbabit.

Dalam serbuan kedua jam 8.20 pagi pada 2 September lalu, Norlela berkata, pihaknya menahan sebuah kontena, dan 3,530 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM22,800 dirampas membabitkan cukai RM70,000.

Menurutnya, wakil ejen penghantaran gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan dan mereka didapati membuat pengikraran palsu sebagai jala ikan dari negara jiran.

Tambahnya, kes masih dalam siasatan untuk mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terbabit untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, siasatan bagi kedua-dua kes itu dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini