comscore
Tumpuan :
Nasional

Cubaan seludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran gagal

FOTO: Ihsan Maritim

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengagalkan cubaan menyeludup keluar minyak masak selepas menahan bot dengan membawa muatan sebanyak 510 paket minyak masak bersubsidi, semalam.

Bot yang berdaftar atas lesen kargo itu ditemui terdampar apabila pengendalinya dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota APMM Sandakan di pesisir pantai Pulau Berhala, jam 10.20 malam.

Pengarah APMM Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot yang ditemui tanpa pemilik itu dipercayai dibiarkan di situ selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa melakukan rondaan di sekitarnya.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa muatan 30 kotak besar berisi 510 peket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram setiap satu.

“Semua minyak masak peket itu disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran.

“Anggaran keseluruhan rampasan termasuk minyak masak bersubsidi, bot dan enjin sangkut bernilai RM11,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot, dalang serta pelaku disebalik kegiatan penyeludupan ini.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini