comscore
Tumpuan :
Nasional

Cucu 4 tahun dan nenek ditemui rentung

RANAU: Seorang kanak-kanak berusia 4 tahun dan neneknya 60 tahun ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Matan, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata mayat Jafflan Sigal dan cucunya dikenali sebagai Carla ditemui di dalam bilik oleh pasukan bomba sejurus api dipadamkan.

Ketika kejadian difahamkan mangsa bersama seorang lagi ahli keluarga berada di rumah terbabit.

Namun ahli keluarga berkenaan dapat keluar menyelamatkan diri.

Ridwan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 10.53 malam.

Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran.

“Kebakaran memusnahkan sebuah rumah jenis tidak kekal dan hasil pemeriksaan menemui dua mangsa rentung di dalam bilik berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi terkawal pada jam 11.45 malam dan kerja-kerja pemadaman sisa kebakaran sedang dijalankan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini