comscore
Tumpuan :
Nasional

CUEPACS Desak Ganabatirau Mohon Maaf

CUEPACS mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau, untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penjawat awam, terutama kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, tindakan ADUN mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan JPS baru-baru ini dianggap sangat keterlaluan, seolah-olah merendahkan penjawat awam yang sedang bertugas.

Beliau berkata pihaknya terkilan dengan tindakan ADUN itu yang disifatkan tidak profesional dalam tugasnya, apatah lagi video yang tular itu dimuat naik sendiri oleh beliau tanpa diketahui niat atau tujuan sebenar.

“Penjawat awam yang terbabit dalam kejadian itu dilihat tidak diberi peluang membuat apa-apa penjelasan.”

“CUEPACS juga mahu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari masuk campur dalam perkara ini supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan menegaskan adalah tidak wajar anggota pentadbiran kerajaan negeri bertindak menyerang penjawat awam.

Ganabatirau memuat naik sebuah video di laman Facebooknya pada Sabtu lepas, menunjukkan beliau meninjau dan memantau isu banjir di Taman Sri Muda dan tidak berpuas hati dengan alasan diberikan oleh JPS. – BERNAMA

Loading...
Terkini