comscore
Tumpuan :
Nasional

CUEPACS harap ada bantuan khas kewangan kepada penjawat awam sempena Aidilfitri

Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat

SEREMBAN: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengalu-alukan sekiranya kerajaan memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sempena sambutan Aidilfitri, April nanti.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata bantuan berkenaan yang lazimnya diberikan setiap tahun, wajar diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada semua penjawat awam, sekali gus meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut perayaan itu.

“Lazimnya kerajaan bagi RM500 untuk penjawat awam dan RM250 untuk pesara, kekalkan yang sama pun sesuatu yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Sembilan bersama CUEPACS di sini, hari ini.

Kakitangan awam – FOTO: NSTP

Tambah Adnan, apa-apa pun pihaknya berterima kasih kepada kerajaan bagi pemberian Bayaran Insentif Awal RM2,000 untuk penjawat awam baru-baru ini.

Katanya pemberian itu sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada anggota perkhidmatan awam bagi membuat perbelanjaan awal sekolah, Ramadan dan mungkin sebahagian untuk raya.

“Namun, jika kerajaan rasa ada keperluan untuk sedikit tambahan dalam bentuk bantuan perayaan seperti mana lazim diberikan setiap tahun dan tidak pernah tidak beri, mungkin tradisi sama boleh dikekalkan, kita alu-alukan, tetapi CUEPACS tidaklah mendesak,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) perlu mencadangkan kepada kerajaan bentuk kebajikan yang sesuai untuk penjawat awam akan datang, dalam perbincangan pada 25 Mac ini.

Beliau berkata ini termasuk cadangan supaya kerajaan meningkatkan skim caruman KWSP untuk majikan dan pekerja pada kadar bersesuaian, atau tidak kurang 26 peratus daripada gaji asas penjawat awam baharu.

“Ada dalam kalangan orang ramai yang berpendapat KWSP lebih baik, sebab boleh menstruktur kewangan sendiri, urus sendiri dan tahu bagaimana nak urus, jadi tak ada masalah untuk mereka dan kerajaan mungkin boleh tingkatkan bentuk caruman itu,” katanya.

Tambah Adnan, cadangan itu perlu lebih baik daripada skim pencen yang ada pada hari ini dan sesuai untuk generai akan datang.

Jelas beliau, penjawat awam akan datang tidak perlu merasa gusar kerana beliau yakin bahawa majikan iaitu kerajaan amat prihatin dengan nasib penjawat awam, sekali gus memastikan mereka juga akan mendapat faedah lebih baik.

Katanya, ini selaras prinsip CUEPACS berhubung cadangan menghapuskan skim pencen iaitu penjawat awam mendapat lebih faedah daripada skim pencen sedia ada.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini