comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuepacs saran elak pilih kasih lantik anggota kerajaan

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meletakkan harapan buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dapat mengetepikan sebarang unsur pilih kasih serta campur tangan politik dalam proses lantikan anggota perkhidmatan awam serta membabitkan hal berkaitan tatakelola kerajaan.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, meskipun pihaknya tiada masalah dengan lantikan sebegitu, namun sebolehnya dielakkan kerana langkah itu dikhuatiri bukan sahaja boleh merencatkan pembangunan kerjaya penjawat awam malah menjejaskan operasi perkhidmatan awam.

Dalam hal ini, beliau berkata, keutamaan harus diberikan kepada pegawai dalam perkhidmatan awam yang berkelayakan mengambil kira pengalaman dan kompetensi mereka dalam bidang masing-masing.

“Cuepacs berharap Perdana Menteri serta barisan menteri yang bakal dilantik kelak memberi keutamaan kepada penjawat awam yang berkebolehan dan kompeten sahaja untuk mengisi jawatan utama dalam perkhidmatan awam.

“Campur tangan politik dalam urusan pelantikan juga harus dielakkan bagi membolehkan mereka yang dilantik kelak benar-benar membantu dan dapat memberikan nasihat terbaik kepada jemaah Menteri.

“Ini kerana lantikan luar sudah tentu menyebabkan pembangunan kerjaya dalam perkhidmatan awam akan lebih sempit. Unsur favouritism juga hendaklah dielakkan terutama hal lantikan jawatan tertinggi kerana ia boleh menjejaskan operasi perkhidmatan awam, sekiranya mereka yang dilantik itu tidak kompeten.

“Pegawai yang dilantik hanya disebabkan ‘kegemaran’ ahli politik tertentu dibimbangi tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, terutama dalam memberi nasihat terbaik kepada menteri berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi lantikan politik yang masih dalam perkhidmatan awam, Adnan berkata, sudah pasti mereka perlu meletak jawatan.

Kemungkinan, beliau berkata, mereka juga akan dipaksa meletakkan jawatan lagi-lagi apabila berlaku perubahan tampuk kerajaan.

Atas situasi itu, katanya, Cuepacs bimbang ia boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan selain mencetuskan persepsi kurang baik terhadap perkhidmatan kerajaan sedia ada.
“Unsur favouritisme dan lantikan politik harus diketepikan kerana ia boleh mengganggu keharmonian dalam perkhidmatan awam itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, terdapat syor daripada Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) melalui surat terbuka kepada Perdana Menteri, yang mahu kerajaan baharu diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan sebarang campur tangan politik dapat dielakkan dalam urusan proses lantikan anggota perkhidmatan awam.

Ia termasuk dalam aspek pengurusan pentadbiran dan kewangan, terutama dalam urusan pemberian kontrak.

Presiden Alumni PTD, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, ia penting memandangkan penemuan audit menunjukkan ketirisan berterusan serta kerugian besar ditanggung kerajaan disebabkan campur tangan terbabit.

Kata bekas Ketua Setiausaha Negara itu, gangguan terbabit disebabkan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi kewangan yang standard.

Loading...
Terkini