comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuepecs Cadang Kerajaan Muktamadkan Peningkatan Gaji Minimum Penjawat Awam

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan memuktmadkan peningkatan gaji minimum bagi penjawat awam, menjelang Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam, hujung bulan ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, perkara itu sudah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu surat yang memperincikan 9 cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan.

Jelas Adnan, pihaknya tidak ekstrem dan membuat penilaian cadangan yang munasabah selepas mengambilkira kedudukan kewangan negara.

“Sekurang-kurangnya kerajaan sebagai majikan terbesar bolehlah memperkenalkan gaji minimum RM1800, mengimbangi pengumuman kepada sektor swasta”

“Seperti yang kita sedia maklum, gaji minimum sektor swasta kini ditetapkan pada kadar RM1500.” kata Adnan

“Adalah amat janggal kerajaan hanya memperkenalkan gaji minimum yang baru kepada pihak swasta sedangkan gaji minimum sektor swasta ialah RM1200. ianya angka yang amat jauh untuk kita mencapai sasaran kerajaan untuk meningkatkanpendapatan isi rumah kepada RM10,400 dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).”katanya ketika ditemui pada majlis makan malam dan perasmian Mesyuarat Agung Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Farmasi Kerajaan Semenanjung Malaysia.

Cuepecs juga katanya, mencadangkan agar kerajaan menilai kenaikan setara lain bagi mengimbangi kenaikan gaji minimum dalam sektor awam.

Pihaknya juga berharap agar kerajaan dapat memperkenalkan sistem saraan yang baharu bagi menggantikan sistem saraan semasa yang telah digunakan sejak 2002 dan dilihat tidak lagi relevan serta tidak komprehensif dengan keadaan semasa.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, Cuepacs juga memohon kepada kerajaan agar kumpulan Penolong Pegawai Farmasi dinaikkan kepada Skim Bersepadu bagi membolehkan mereka mendapat manfaat selayaknya.

“Di bawah skim ini termasuk juruteknik teknologi perubatan kita memohon kepada kerajaan. Sebelum ini hanya lima skim bersepadu sahaja diluluskan oleh kerajaan diluluskan di bawah Pekeliling 27 pada 2005 sekarang sudah 2022 iaitu 17 tahun tertinggal. Sekarang ramai penolong pegawai farmasi sudah ada ijazah dan sebagainya,” katanya.

Untuk rekod, pada 21 Ogos lalu, Perdana Menteri memberi bayangan akan mengumumkan berita gembira untuk penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini.

Loading...
Terkini