comscore
Tumpuan :
Nasional

Culas bayar nafkah, bekas suami boleh didakwa

Bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Bekas suami atau bapa yang gagal melunaskan bayaran tuntutan nafkah yang diperintahkan mahkamah syariah boleh didakwa atas kesalahan menghina mahkamah.

Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu, Wan Abd Malik Wan Sidek berkata secara asasnya, perbuatan ingkar terhadap mana-mana perintah mahkamah termasuk soal nafkah boleh dianggap sebagai perbuatan menghina mahkamah.

Katanya, tindakan penguatkuasaan seperti penjara dan denda boleh dilaksanakan terhadap bekas suami yang bertindak mengabaikan perintah mahkamah tanpa alasan yang kukuh di bawah Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengingkari perintah mahkamah.

“Ramai bekas isteri teraniaya kerana tidak mengetahui bahawa mereka boleh hadir ke mahkamah untuk memohon supaya perintah nafkah itu dikuatkuasakan sekiranya bekas suami gagal patuh kepada perintah berkenaan oleh Mahkamah Syariah.”

“Jika bekas suami culas membayar nafkah, bekas isteri boleh membuat aduan berkenaan kepada pihak penguatkuasa syariah untuk tindakan lanjut.”

“Dari segi tempoh untuk buat aduan ini, ia perlu logik dan ada tempoh tertentu, mungkin jika sudah enam bulan tertunggak tanpa alasan kukuh, jadi bekas isteri boleh mengadu kepada penguatkuasa syariah.”

“Jika terbukti bekas suami ingkar perintah yang dikeluarkan sebelum ini, kertas siasatan akan dibuka sebelum kes dirujuk kepada pihak pendakwa untuk didakwa di mahkamah atas kesalahan menghina mahkamah,” katanya.

Wan Abd Malik yang juga Ketua Pendakwa Syarie Negeri Terengganu berkata pihak yang diabaikan perlu tampil ke hadapan untuk memulakan tindakan bagi membolehkan isu pengabaian perintah diselesaikan.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab tidak dapat memulakan tindakan terhadap bapa atau suami yang mengabaikan perintah nafkah tanpa adanya laporan atau aduan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini