comscore
Tumpuan :
Nasional

Culas bayar SST, negara kerugian RM150 juta

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad (kiri) mengadakan sidang media Program Handholding SST “Ikrar Betul, Bayar Betul” di Putrajaya.

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kurang 10 peratus syarikat perniagaan dan industri culas membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada tahun lalu mengakibatkan kerugian hampir RM150 juta kepada negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) JKDM Datuk Sazali Mohamad berkata, ahli lembaga pengarah syarikat gagal membayar cukai SST akan berdepan tindakan sekatan ke luar negara yang dikenakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen.

Katanya, secara purata hanya 90 peratus syarikat yang melaksanakan pembayaran cukai secara betul manakala 10 peratus lagi culas dan sekiranya masih gagal selepas diberikan tempoh ditetapkan, mereka akan dikenakan penalti lebih tinggi seterusnya dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan undang-undang.

“Walaupun dilihat jumlahnya sangat kecil namun ia memberi implikasi kewangan kepada negara,” katanya pada sidang media sebuah program berkaitan SST, di sini, hari ini.

Program dua hari bermula semalam bertujuan membuka ruang seluasnya kepada orang ramai untuk mengemukakan sebarang masalah dan mendapatkan info terkini mengenai percukaian SST.

Ia diadakan sempena Hari Kastam Sedunia yang disambut pada 26 Januari lalu bagi memberi kefahaman berkaitan perundangan SST dan tanggungjawab mengikrar dan membayar cukai.

Sazali berkata, pada tahun lalu, JKDM merekodkan kutipan keseluruhan hasil berjumlah RM53.54 bilion, meningkat 25.97 peratus atau RM11.0 billion berbanding kutipan pada 2021 sebanyak RM42.50 billion.

Menurutnya, peningkatan hasil cukai disumbangkan melalui kutipan cukai jualan, cukai perkhidmatan, duti eksais, duti import dan levi sekali gus memberi petunjuk pertumbuhan ekonomi semakin menggalakkan berbanding 2020 dan 2021. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini