Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Dua lelaki dan seorang wanita warga Vietnam direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes seorang ahli perniagaan yang diculik pada 13 Oktober lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Muhammad Fitri Mokhtar, pagi tadi.
Tahanan reman sehingga Rabu itu membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kesemua suspek mengikut Akta Penculikan 1962.
Kesemua suspek yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan awal pagi semalam di sekitar kawasan Batu Pahat.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya telah menahan 13 individu berusia 23 hingga 58 tahun dalam beberapa siri serbuan dah tangkapan di sekitar negeri ini bermula jam 9 malam Rabu.
Katanya, salah seorang daripada yang ditahan itu adalah ahli keluarga mangsa yang diculik.
Sebelum ini, polis mengesahkan seorang ahli perniagaan diculik dan dilarikan oleh beberapa lelaki sebelum dibebaskan selepas ahli keluarga mangsa membayar wang tebusan, berjumlah RM20 juta.
Peniaga berusia 59 tahun itu dijadualkan untuk ke luar negara bagi urusan perniagaannya sebelum dilarikan jam 5 pagi, 13 Oktober.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.