comscore
Tumpuan :
Jenayah

Culik wanita & minta tebusan RM111,000, 5 lelaki didakwa

JOHOR BAHRU: Polis menahan sembilan lelaki warga tempatan selepas disyaki terbabit dalam insiden culik seorang wanita di Kulai, dekat sini dan meminta wang tebusan RM111,000, bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, semua suspek berusia lingkungan 24 hingga 48 tahun telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan Kulai, hari ini.

Menurutnya, tiga daripada tangkapan itu dituduh di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961, bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

“Tertuduh dibenarkan ikat jamin dengan jumlah RM15,000 setiap seorang.

“Dua daripada mereka yang dituduh bagi kes culik turut didakwa di bawah Seksyen 383 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

“Tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mahkamah Kulai, Nurkhalida Farhana Abu Bakar dan dibenarkan ikat jamin RM3,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, dua lagi tangkapan yang dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Nurkhalida Farhana.

Katanya, kedua-dua tertuduh dibenarkan ikat jamin RM4,000 setiap seorang.

Pada masa sama, Kumar berkata, empat lagi tangkapan dibebaskan dengan jaminan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi pendakwaan.

Terdahulu, Kumar berkata, semua suspek ditahan di beberapa lokasi berasingan di negeri ini, Negeri Sembilan dan Selangor antara 23 hingga 25 Mei lalu.

Beliau berkata, penahanan itu susulan laporan diterima pihak polis pada 16 Mei lalu yang mendakwa mangsa berusia 30 tahun dilarikan tiga individu bersenjatakan parang ketika berada di rumah.

“Insiden ini turut membabitkan wang tebusan sebanyak RM111,000 bagi melepaskan mangsa yang bekerja sendiri itu.

“Mangsa kemudian dilepaskan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan sebaik wang tebusan diserahkan pada hari sama di sebuah perhentian bas di Skudai di sini,” katanya.

Kumar berkata pihaknya turut merampas wang tunai yang dipercayai diperoleh hasil daripada kejadian culik itu.

“Semua yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati enam daripadanya positif methamphetamine,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini