comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Curi ‘forklift’ bekas majikan, lelaki dipenjara setahun

Foto: NSTP

MELAKA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri trak pengangkat (forklift) milik bekas majikannya, bulan lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhamad Hafiez Kamarudin,29, dengan menimbangkan rayuan, fakta kes dan hujah pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencuri sebuah trak angkat-susun (forklift) milik Yeoh Wooi Teng, 52, bernilai RM7,700 di Medan Selera Cheng Ho Jiak, Taman Bertam Jaya, di sini, pada 31 Disember lalu, kira-kira jam 8.35 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu terkejut mendapati forklift berkenaan hilang dan mengesyaki ia dicuri selepas gagal mencarinya.

Pengadu kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup di premisnya dan mendapati perbuatan itu dilakukan bekas pekerjanya yang mengangkut forklift berkenaan menggunakan lori.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh tangkapan pada 5 Januari lalu dan denda RM1,500 atau sebulan penjara jika gagal bayar.

Sementara itu, tertuduh turut mengaku bersalah atas tuduhan berasingan memberikan dadah methamphetamine kepada diri sendiri mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan laporan patalogi pada 8 Januari depan dan tertuduh dibenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Loading...
Terkini