comscore
Tumpuan :
Nasional

Curi kenderaan, tiga mekanik dipenjara 14 bulan

Tiga warga Indonesia dipenjara 14 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas tuduhan mencuri kenderaan. – FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Tiga warga Indonesia dikenakan hukuman penjara 14 bulan atas kesalahan mencuri kenderaan.

Majistret Suhaila Shafi’uddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Asep, 26, Pikri, 28 dan Ikbal, 26, yang bekerja sebagai mekanik lori mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan.

Mereka dihukum penjara tujuh bulan bagi pertuduhan pertama dan masing-masing 10 dan 14 bulan bagi pertuduhan kedua serta ketiga.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula tarikh tangkapan pada 23 Oktober lalu.

Semua tertuduh yang tidak mempunyai dokumen sah didakwa menyembunyikan dua motosikal dan satu rangka kenderaan di sebuah rumah di Taman Sri Panchor, Jalan Kluang serta Tongkang Pechah antara 20 hingga 23 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Jason Tan.

Berdasarkan fakta kes, serbuan polis di rumah berkenaan menemui dua motosikal Yamaha 125ZR dan Honda Dash 110 serta rangka motosikal dipercayai dicuri.

Mereka yang positif dadah ketika ditahan dan dipercayai mencuri kenderaan itu sebelum meleraikan komponen dan menukar nombor pendaftaran bagi mengelak dikesan.

Dalam pada itu, semua tertuduh juga dihukum penjara empat bulan atas tuduhan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1959/63, iaitu Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tamat tempoh.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini