MANJUNG: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri dua rim aloi bersama tayar kereta di tempat letak kenderaan berbayar di Lumut Perak, bulan lalu.
Muhammad Badarudin, 39, didakwa di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun sehingga tujuh tahun dan denda.
Dia dituduh mencuri komponen kenderaan, iaitu dua rim aloi bersama tayar kereta Honda City GN2 warna hitam milik seorang lelaki di Parkir Berbayar Marina A1-A14 Lumut, di sini pada jam 3 petang, 22 November lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hairol Jemain, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, A Sive Ganesh.
Muhammad Badarudin mengaku bersalah sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun tiga bulan dan denda RM1,000 dari tarikh tangkap 10 Disember lalu atau tambahan tiga bulan lagi penjara, sekiranya gagal membayar denda.
Kes berkenaan tular dalam video berdurasi 36 saat yang memaparkan seorang lelaki mendakwa kedua-dua tayar belakang Honda City miliknya, termasuk rim dicuri.
Mangsa mendakwa kejadian ketika dia berada di Pulau Pangkor selepas meletak kereta terbabit di tempat parkir kenderaan berbayar di sebuah pulau persendirian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.