comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuti sekolah: Pantau keselamatan anak-anak ketika musim banjir- Fadhlina

Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek (kanan) meninjau kejadian banjir yang berlaku di Kampung Sungai Kechil. – FOTO: NSTP

NIBONG TEBAL: Ibu bapa diminta memantau keselamatan anak-anak supaya tidak bermain air ketika musim banjir.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, beberapa kawasan termasuk Parlimen Nibong Tebal kendaliannya kini mengalami banjir kilat apabila banyak rumah dan premis perniagaan dinaiki air susulan hujan lebat.

Berikutan itu, beliau menyuarakan kebimbangan dan memerlukan kerjasama semua agensi dalam menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua agensi tetapi (apa) yang (paling) penting adalah untuk memastikan keselamatan.

“Kebetulan (ketika ini) cuti sekolah, jadi saya minta ibu bapa untuk pantau keselamatan anak-anak.

“Pada masa sama, kita sedaya upaya sedang mengatasi krisis ini dengan semua agensi telah dikerahkan (ke lokasi terlibat) termasuk membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya kepada pemberita ketika meninjau beberapa lokasi di Nibong Tebal yang dilanda banjir kilat, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina mengingatkan semua pihak untuk bersiap sedia dalam segala kemungkinan selepas keadaan cuaca pada ketika ini masih kurang baik.

“Setakat ini ada antara lima ke enam buah kampung dinaiki air dan ada juga premis perniagaan.

“Ada rumah dulu tak pernah air naik tapi kali ni berlaku banjir kilat. Saya nasihatkan kepada mereka yang terpaksa pindah ke PPS untuk patuhi arahan demi keselamatan,” katanya.

Terdahulu, dianggarkan terdapat 70 lokasi di Seberang Perai dilaporkan dilanda banjir kilat dan kejadian pokok tumbang susulan hujan lebat yang berlarutan sejak awal pagi tadi

Dua kejadian banjir kilat membabitkan daerah Seberang Perai Utara termasuk satu insiden pokok tumbang di Jalan Siram, di sini yang menghempap sebuah kereta dinaiki seorang wanita dipercayai sedang hamil.

Bagaimanapun mangsa dikatakan telah diselamatkan orang awam sebelum ketibaan anggota bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, di daerah Seberang Perai Tengah berlaku kejadian banjir kilat membabitkan 42 lokasi, manakala daerah Seberang Perai Selatan melibatkan 26 lokasi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini