Tumpuan :
Nasional

Cuti Tahun Baharu Cina: 2.6 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya utama – LLM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan aliran trafik di lebuh raya utama meningkat ketara mencecah 2.6 juta kenderaan sehari, menuju pantai timur, utara dan selatan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, 25 Januari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sazali Harun berkata, pergerakan kenderaan keluar dari ibu kota sempena cuti panjang akan meningkat bermula 24 hingga 28 Januari ini manakala aliran trafik kembali ke ibu kota dijangka bertambah pada 1 hingga 2 Februari.

“Sebanyak 2.2 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya utara selatan, 198,000 ( Lebuhraya KL-Karak), 82,000 (Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1), 48,000 (Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2) dan 120,000 menggunakan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE),” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi mengurangkan kesesakan, pihaknya telah mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya agar tidak melaksanakan sebarang penutupan lorong kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula esok hingga 3 Februari, mengaktifkan smart lane di 25 lokasi hotspot kesesakan di lebuhraya utara selatan, menambah baik pengurusan trafik di plaza tol dan persimpangan, pengaktifan laluan tidal serta penambahan kaunter bayaran tol menggunakan portable reader.

“Pihak PLUS juga telah menyediakan kira-kira 50 tandas sementara daripada jenis kabin yang lebih selesa berbanding tandas ‘portable’ konvensional di Lebuhraya Utara Selatan untuk menampung keperluan pengguna semasa musim perayaan ini,” katanya.

“Pelaksanaan tempoh larangan pemanduan kenderaan barangan sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 pada 27 – 28 Januari 2025 dan 1 – 2 Februari 2025 dijangka turut sedikit sebanyak membantu kepada aliran trafik yang lebih baik di lebuh raya utama negara.” Katanya lagi.

Sazali turut menasihati pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-TTA bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan dan Cadangan Waktu Perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) oleh pihak AFA Prime bagi Lebuhraya KL – Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM di talian 1–800–88–7752 untuk mendapatkan bantuan atau layari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my dan WhatsApp Channel LLM Info Trafik untuk maklumat keadaan trafik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini