
MELAKA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka hari ini melupuskan pelbagai jenis barang kes dadah seberat 101,901.33 gram bernilai RM1,600,636.81.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah, pelupusan barang kes berkenaan menggunakan khidmat kepakaran serta fasiliti milik Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd yang bertempat di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.
Ini bagi memastikan prosesnya mengikut piawaian alam sekitar dan prosedur pelupusan barangan berjadual.
Menurutnya, semua barang kes dadah dilupuskan itu dirampas polis membabitkan 2,835 kertas siasatan yang dibuka sejak 2004 hingga tahun lalu.
“Dadah yang dilupuskan adalah heroin seberat 2,930.15 gram (g), kanabis 15,854.05g, methamphetamine (6,466.19 g), ketamin (1,166.04 g), nimetazepam (253.63 g) dan cecair mitragynine (60,067.80 liter).
“Selain itu, turut dilupuskan adalah pepejal mitragynine seberat 13,095.20 g, kodin (1,052.39 ml) dan lain-lain racun (1,002.81 g),” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut Zainol, semua barang kes dilupuskan itu juga selesai dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia serta selesai proses perbicaraan dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
“Pergerakan konvoi barang kes dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ke tapak pelupusan diketuai Pegawai Turus Perundangan/Naziran JSJN Melaka, Inspektor Sarina Rusli dengan diiringi kereta peronda (MPV) Melaka Tengah, Alor Gajah dan Seremban.
“Pelupusan dijalankan pada jam 2 petang hingga 4 petang tadi,” katanya.