Tumpuan :
Nasional

Dadah sintetik terus jadi pilihan penagih, ancaman kian meningkat

Pelancaran buku Diagnosa oleh Ketua Pengarah, Datuk Ruslin Jusoh (dua dari kanan). – FOTO: NSTP

KAJANG: Dadah sintetik jenis perangsang amfetamin (ATS) antaranya syabu, pil kuda dan ekstasi terus menjadi pilihan penagih dadah di Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, sekali gus membuktikan ancaman berkaitan dadah sintetik yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, katanya seramai 169,691 penagih dadah direkodkan pihaknya, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Pemulihan Persendirian (PPP) sepanjang tahun lalu.

“Jenis dadah paling banyak disalah guna adalah ATS seperti syabu, pil kuda dan ekstasi membabitkan 119,410 pengguna atau 70 peratus daripada keseluruhan penagih.

“Dadah jenis opiat pula menjadi pilihan kedua penagih dadah seluruh negara mencatatkan 38,854 penagih, manakala ganja 6,750 penagih dan selebihnya mengambil lain-lain jenis narkotik serta pil psikotik,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Pengarah dan Perhimpunan Bulanan AADK, di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai 17,652 orang klien memenuhi kriteria kekal pulih daripada 22,224 klien yang telah tamat rawatan pemulihan dalam komuniti sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu.

Untuk 2025 pula, kata Ruslin, AADK memberi tumpuan kepada pelaksanaan pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, selain merangka Pelan Komunikasi Antidadah sebagai satu usaha menyebar luas mesej antidadah yang tepat dan terkini.

Mengulas cecair perisa vape dikenali ‘mushroom’ yang disalahgunakan secara meluas dan mudah diperoleh, Ruslin berkata, ‘magic mushroom’ iaitu psilosibin atau dadah sintetik Methyl-dimethylbutanoate (MDMB), kedua-duanya berada dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memerlukan tindakan AADK.

“Magic Mushroom’ itu di luar sana adalah satu terminologi meluas dipakai, tetapi realitinya kajian membuktikan ia adalah dadah sintetik,” katanya mengakui tidak dapat mengesahkan daripada mana dadah itu diperoleh, tetapi banyak digunakan dalam kalangan remaja.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini