comscore
Tumpuan :
Nasional

Daging korban dari Bangladesh dirampas MAQIS

Pegawai MAQIS menunjukkan daging lembu korban seberat 20kg yang dibawa dari Bangladesh dirampas di laluan ketibaan LTSIP. – FOTO: MAQIS

KOTA BHARU: Daging lembu korban yang dibawa dari Bangladesh dengan alasan untuk diberikan kepada keluarga dirampas sebaik tiba di balai ketibaan.

Daging lembu seberat 20 kilogram disimpan dalam bekas polisterin sebelum pasukan Penguat Kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Kelantan mengesan barangan itu ketika imbasan dibuat.

Pengarah MAQIS Kelantan, Syed Fuad Syed Putra berkata, pemeriksaan dibuat pada jam 6 petang 26 Jun lalu di laluan ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

“Daging lembu itu dibawa dari Bangladesh oleh seorang penumpang warga negara itu dan ditemui disorok dalam kotak polisterin serta tidak mempunyai permit sah.

“Lelaki berusia sekitar 40-an itu memberitahu ia adalah daging korban dan ingin memberikannya kepada keluarga di Rantau Panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Fuad berkata, daging lembu yang dianggarkan bernilai RM600 itu dirampas untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan menerusi laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan penyakit kuku dan mulut (FMD) ke negara ini seterusnya merosakkan industri penternakan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini