comscore
Tumpuan :
Nasional

Dah empat tahun tapi kes masih tak selesai

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: “Saya dan lebih 60 mangsa penipuan agensi itu mahukan supaya duit yang sudah dibayar kepada mereka yang dianggarkan berjumlah RM2 juta supaya dipulangkan semula. Namun pemilik agensi itu seolah-olah cukup kebal dan dilindungi, sedangkan semua mangsa dianiaya malah nasib kami tidak terbela sehingga kini.”

Itu reaksi salah seorang daripada 26 mangsa penipuan visa haji furada oleh sebuah agensi umrah dan haji tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Nina Ismail.

Tambah Nina 38 tahun, beliau kecewa apabila kes berkenaan tidak dapat diselesaikan selepas lebih empat tahun lalu.

Beliau turut mempersoalkan kekebalan pemilik agensi berkenaan yang didakwa beliau tidak pernah dikenakan tindakan dan kekal bebas walaupun banyak laporan polis dibuat terhadap mereka.

Jelas Nina, berita penipuan visa haji Furada itu pernah menggemparkan negara dan mendapat laporan meluas pada Ogos 2019.

Insiden menyebabkan mereka terpaksa dihantar pulang semula ke tanah air selepas terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah kerana imigresen Arab Saudi mendapati nama mereka tiada dalam senarai visa haji.

Nasib mereka terus menjadi tidak menentu apabila agensi yang mengendalikan urusan mereka membuat laporan polis dan mendakwa urusan visa Furada itu diuruskan oleh pegawai Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

Tambah Nina apabila beliau dan mangsa lain merujuk perkara itu kepada pegawai penyiasat dan kementerian berkaitan, mereka mendakwa pegawai Kedutaan Arab Saudi di Malaysia yang didakwa bertanggungjawab itu tidak dapat dikesan menyebabkan kes berkenaan sukar diambil tindakan.

“Kes kami yang sudah lebih empat tahun tidak selesai menunjukkan kepincangan prosedur dan tindakan penguatkuasaan apabila pihak yang menganiaya dan menipu masih kekal bebas tanpa sebarang tindakan diambil kerana menipu kami,” katanya.

Jelas Nina, pada Februari lalu, Tribunal Pengguna mengarahkan supaya agensi berkenaan memulangkan semula wang yang sudah dibayar membabitkan harga pakej bagi dirinya, suami dan ayah.

Namun wakil agensi terbabit meminta penangguhan pemulangan bayaran sebelum terus ‘ghaib’ tanpa dapat dikesan.

Tambah Nina, mereka hanya mahukan hak kami dipulangkan semula, namun kerana keengganan dan kedegilan agensi berkenaan yang seolah-oleh dilindungi menyebabkan mereka terpaksa mengambil tindakan sivil menyaman syarikat berkenaan.

“Saya juga akan membawa kes ini ke mahkamah dalam masa terdekat berikutan ketidakpatuhan agensi itu terhadap keputusan Tribunal Pengguna yang mengarahkan bayaran balik penuh dibuat,” katanya.

Buletin TV3 sebelum ini melaporkan setakat Ogos 2022, sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan dengan jumlah lebih RM5.6 juta.

Ia melibatkan 336 orang yang menjadi mangsa penipuan tiga syarikat pelancongan swasta.

Loading...
Terkini