comscore
Tumpuan :
Nasional

Daim masuk hospital, SPRM tetap tarikh baharu rakam keterangan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan akan menetapkan tarikh baharu untuk merakam keterangan Tun Daim Zainuddin susulan bekas Menteri Kewangan itu dimasukkan hospital.

Portal Free Malaysia Today (FMT) hari ini melaporkan, proses yang sepatutnya berlangsung hari ini turut ditangguhkan.

Memetik sumber, ia berkata, temu bual perlu dijadual semula memandangkan Daim dimasukkan ke hospital.

“Kami dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital minggu lalu, jadi kami kena tetapkan tarikh baharu,” kata sumber kepada portal itu.

Bagaimanapun tiada maklumat lanjut mengapa Daim diambil keterangan setakat ini.

Rabu lalu, isteri Daim, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, lserta dua anaknya, Muhammad Amin Zainuddin Daim dan Muhammad Amir Zainuddin Daim di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan.

SPRM berkata, ketiga-tiga individu itu dirakam keterangan bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara yang berada di bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Tun Daim.

Ia membabitkan satu notis diserahkan kepada Tun Daim mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 pada 7 Jun 2023 manakala notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 juga diserahkan kepada ahli keluarga beliau.

“Sebagaimana yang dinyatakan pada Kenyataan Media SPRM bertarikh 30 Disember 2023 yang lalu, siasatan terhadap Tun Daim ini bermula pada Februari 2023 berdasarkan pendedahan serta maklumat daripada Kertas Pandora,” katanya.

Loading...
Terkini