comscore
Tumpuan :
Nasional

Dakwaan ‘harimau kurus, tak cukup makan’ tidak benar – Zoo Negara

Zoo Negara. – Foto fail NSTP

PETALING JAYA: Dakwaan haiwan dibiarkan kelaparan, tidak dijaga dengan baik atau kelihatan lemah dinafikan Zoo Negara.

Timbalan Presidennya, Datuk Rosly@Rahmat Ahmat Lana, sebaliknya berkata semua haiwan di situ dijaga dengan baik mengikut prosedur kesihatan ketat.

Beliau berkata, ia termasuk pengawasan berkala yang dilakukan pakar veterinar dan kakitangan terlatih, selain haiwan yang tidak sihat akan dipantau dan dirawat setiap hari.

Katanya, pihak Zoo Negara juga memastikan haiwan tidak mengalami kenaikan berat badan berlebihan yang boleh membahayakan kesihatan mereka.

“(Dakwaan) Ini tidak benar sama sekali, pengunjung boleh datang dan lihat sendiri keadaan haiwan di sini. Contohnya, harimau kami tidak kurus.

“Haiwan di Zoo Negara dijaga mengikut keperluan spesies masing-masing, bukan seperti haiwan peliharaan di rumah. Mereka diberi diet terkawal, selain kami memantau kesihatan mereka dengan teliti.

“Haiwan di sini mempunyai jadual pemakanan tetap dan jumlah makanan yang dikawal kerana dikhuatiri berdepan kesan negatif ke atas kesihatan jika berat badan berlebihan,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan, seorang pempengaruh menyuarakan kekecewaan terhadap pengurusan Zoo Negara dengan mendakwa haiwan di fasiliti itu dilihat terabai.

Pempengaruh itu juga mendakwa, kebanyakan haiwan kelihatan lemah, tidak aktif dan kurang berat badan.

“Kita boleh nampak haiwan di sini gembira atau tak. Perut harimau dilihat kempis sedangkan pemberi makan di Zoo Negara memiliki perut lebih besar dan beberapa haiwan kelihatan sakit.

“Kandang haiwan dilihat tidak teratur, manakala air di dalam akuarium juga keruh,” dakwanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini