comscore
Tumpuan :
Nasional

Dakwaan Ka Siong Perlu disiasat Speaker Dewan Rakyat – Johari

KUALA LUMPUR: Dakwaan Ahli Parlimen bahawa dirinya didesak secara tidak wajar agar membetulkan kenyataan yang dibuat di dalam Parlimen, perlu segera disiasat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Tegas Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, ia susulan kenyataan oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Semalam, bekas Menteri Pengangkutan itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa seorang orang awam, yang mendakwa daripada wakil J&E Advance Tech Sdn Bhd, menghubunginya supaya menarik balik kenyataan yang dibuatnya di Parlimen mengenai pengimportan telur dari India.

Beliau mendakwa, pemanggil lelaki itu dikatakan sudah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) supaya Presiden MCA itu memperbetulkan kenyataan dan menyelesaikannya di luar mahkamah.

Datuk Seri Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, kenyataan Ka Siong itu menunjukkan wujudnya kepentingan di pelbagai peringkat bahawa Yang Dipertua perlu bertindak segera kerana ia jelas menjejaskan prosiding di dewan yang mulia itu, selain keupayaan Ahli Parlimen melaksanakan tugas mereka.

“Pertamanya, seorang Ahli Parlimen tidak boleh ditekan mana-mana pihak untuk membuat sebarang kenyataan secara paksaan.

“Keduanya, tiada pegawai awam atau mana-mana ahli perniagaan harus terbabit dalam sebarang urusan yang bertujuan bagi memberi tekanan kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk melakukan sebarang tindakan atau mengatakan apa-apa kenyataan,” katanya yang dipetik dalam laporan FMT.

Pada masa sama, Johari turut menyifatkan desakan seperti itu berisiko menjurus kepada kesalahan jenayah.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan II, berkata dakwaan pemanggil bahawa wujudnya perbincangan dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) mungkin boleh menjadi suatu bentuk pencerobohan yang menyalahi undang-undang oleh eksekutif ke dalam Parlimen.

“Ia juga mungkin setara dengan perlanggaran disiplin penjawat awam. Parlimen bertanggungjawab menyiasat perkara ini dan memastikan tindakan diambil,” katanya.

Susulan dakwaan Ka Siong itu, PMO kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya memandang serius tindakan mana-mana pihak yang secara sengaja menyalahgunakan nama atau kedudukan pejabatnya bagi tujuan tertentu.

PMO turut tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk membabitkan sudut perundangan terhadap pihak yang terbabit dengan perkara sedemikian.

Sementara itu, Ka Siong memberitahu FMT bahawa jelas terdapat cubaan beberapa pihak untuk menakutkannya.

Beliau bagaimanapun, yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kaitan dengan perkara ini selepas berbincang mengenainya.

“Sebaliknya ini adalah kes seseorang yang menggunakan nama PMO”.

“Tidak salah saya membangkitkan isu ini di Parlimen kerana saya hanya menjalankan tugas saya malah kekebalan Parlimen mesti dihormati,” katanya.

Sebelum ini, Ka Siong menerima dua surat tuntutan oleh J&E, yang menyatakan mereka adalah pengimport tunggal telur dari India, berhubung kenyataan yang dibuatnya mengenai isu itu.

Surat pertama diterima Ka Siong adalah pada 23 Februari lalu yang menyatakan syarikat itu menghadapi kerugian dan reputasi tercemar akibat daripada kenyataan tidak wajar beliau.

Sementara melalui surat kedua, peguam syarikat itu memaklumkan perniagaannya terjejas secara tidak langsung kerana kenyataan Ka Siong menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna mengenai kualiti telur.

Ka Siong melalui catatannya di Facebook pada 9 Janauri lalu, menulis bahawa telur dari India akan mengambil masa antara tiga hingga empat minggu untuk sampai ke Pelabuhan Klang, dengan laluan laut.

Beliau dilihat sering membangkitkan isu berhubung bekalan telur di negara ini di Dewan Rakyat. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini