comscore
Tumpuan :
Nasional

Dakwaan kecurian unsur nadir bumi masih dalam siasatan – Sanusi

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. – FOTO: NSTP

PENDANG: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta semua pihak tidak membuat tuduhan melulu berkaitan dakwaan wujudnya kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang dekat Sik.

Datuk Seri Sanusi berkata kes berkenaan masih dalam siasatan jabatan berkaitan dan sehingga kini bahan berkenaan belum disahkan sebagai REE.

Jelasnya, kawasan Bukit Enggang sebelum ini sudah diberikan permit penggunaan tapak kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) untuk dijadikan tapak kajian bahan mentah batuan.

“Ketika tangkapan dibuat Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) beberapa hari lalu, saya difahamkan tiada operasi pengeluaran (REE) kerana sehari sebelum itu, mesyuarat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) meluluskan untuk dijadikan tapak kajian di tapak pemindahan bahan tanpa kebenaran sebelum ini daripada dimusnahkan.

“Belum ada lagi kajian seumpama itu di Malaysia, tetapi kita sudah ada tapak. Kita jadikan ia pusat kajian untuk kaji sejauh mana kesan proses penguraian (bahan batuan) …(apabila dibuat tangkapan) tak ada aktiviti apa, cuma mengeringkan kolam, bahan mentah memang ada dalam kolam.

“(Untuk buat) proses penguraian memang kena pergi ke kolam, jadi kalau nak keringkan kolam, dia bawa tanah masuk (kumpulkan tanah) dalam guni dan disimpan, tak ada pemindahan, tak ada pengeluaran apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik, Lesen Pendudukan Sementara, Hak Milik Sambungan dan Cukai Tanah kepada 505 penduduk bagi Daerah Pendang di sini, hari ini.

Hari ini, BH melaporkan seramai 52 lelaki ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) selepas disyaki melakukan aktiviti penerokaan unsur nadir bumi (REE) secara haram dalam Hutan Simpan Bukit Enggang, minggu lalu.

Dalam operasi berperingkat itu, JPNK turut menyita beberapa peralatan dan mesin yang dipercayai diguna untuk aktiviti pengeluaran sumber berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi MBI berkata, bagaimanapun bukti mengenai dakwaan kecurian REE itu belum diperoleh pihaknya kerana ia memerlukan siasatan terperinci terlebih dahulu.

Ketika ditanya adakah tangkapan itu membabitkan warga tempatan atau luar negara, beliau berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

“Di dunia ini hanya ada dua negara yang mempunyai kepakaran untuk mengestrak bahan itu iaitu Amerika Syarikat dan China.

“Jadi kalau tak Amerika, maka China, jadi dua itu saja. Orang Malaysia mana pandai korek benda tu,” katanya.

Loading...
Terkini