Tumpuan :
Nasional

Dakwaan kes rasuah babit ADUN Sabah: Tiada usaha sekat siasatan SPRM – PM Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada sebarang usaha untuk menyekat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berhubung dakwaan kes rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan tegas memerangi rasuah biarpun ia membabitkan golongan kenamaan.

“Tetapi saya diberi maklum oleh pihak SPRM bahawa hal ini diteruskan, termasuk isu berbangkit terakhir ini mengenai Sabah. Itu yang dimaklumkan SPRM, siasatan diteruskan. ADUN berkaitan dipanggil.

“Namun, tidak benar sama sekali kalau ada dakwaan untuk mengekang dan menyekat. Begitu juga yang membabitkan orang-orang kenamaan yang lain kerana bagi saya seperti mana ditegaskan berulang kali negara tak mungkin selamat jika tidak dibanteras rasuah ke akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

SPRM Sabah sebelum ini memanggil lima ADUN Sabah bagi siasatan membabitkan dakwaan rasuah perolehan projek mineral di negeri itu.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, SPRM Sabah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah berkenaan.

Setakat ini, SPRM sudah memanggil lima ADUN Sabah terbabit untuk dirakam percakapan dan siasatan masih giat dijalankan.

Siasatan awal berhubung aduan itu membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah membabitkan ahli perniagaan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini