comscore
Tumpuan :
Nasional

Dakwaan kewujudan kontena dari Israel: Johor tunggu laporan penuh dari LPJ, pihak pelabuhan

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh. – FOTO: Fazli Salleh/ Facebook

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor sedang menunggu laporan penuh daripada beberapa pihak termasuk Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan pihak pelabuhan berhubung dakwaan ada kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pendirian kerajaan negeri adalah selari dengan kerajaan persekutuan iaitu tidak ada syarikat perkapalan Israel dibenarkan berlabuh di pelabuhan di negara ini.

Katanya, pihaknya akan memantau rapat perkembangan dan laporan daripada pihak berkaitan berhubung dakwaan itu.

“Kita terima aduan beberapa pihak termasuk wakil rakyat kawasan tersebut (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad) dan penduduk kampung bila mereka lihat kontena ini (Israel) di pelabuhan Iskandar Puteri.”

“Saya sudah berhubung dengan pihak berkenaan (LPJ dan pihak pelabuhan) dan sedang menunggu maklum balas serta laporan penuh daripada pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui di Jalan Abdul Samad di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Fazli, pihaknya menggesa laporan itu diberikan dalam tempoh segera.

Tambah Mohamad Fazli, ini adalah kali pertama pihaknya menerima aduan kontena berkait syarikat perkapalan dari Israel berlabuh di pelabuhan negeri ini.

“Kita serahkan isu ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. Orang awam dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri dan segera melaporkan pada kerajaan negeri atau agensi berkaitan supaya ianya dapat diselesaikan dengan baik.”

“Buat masa ini kita tidak tahu apa isi kandungan kontena berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata kerajaan mengarahkan LPJ dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) segera menyiasat dakwaan ada kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, Johor.

Menurutnya, siasatan terperinci harus dilakukan termasuk melihat kemungkinan kontena terbabit dihantar oleh pihak ketiga.

Semalam, ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan berkata beliau terkejut apabila menerima aduan daripada penduduk yang mendakwa ada kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri.

Susulan itu, Pandak meminta pihak berkuasa dan kerajaan memberikan penjelasan mengenai dakwaan kononnya kontena-kontena dari Israel masih dibawa masuk ke negara ini, walaupun kerajaan sudah mengeluarkan larangan ke atasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini