Oleh: Hilmi Abdul Malik
PUTRAJAYA: Kerajaan menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyunting temubual Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama agensi media antarabangsa CNN, kononnya Malaysia seolah-olah mengiktiraf negara haram Israel.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pendirian Malaysia sememangnya jelas berhubung kekejaman yang melanda di Palestin malah isu itu juga sudah ditekankan beberapa kali dalam sidang parlimen.
“Kalau kita teliti kenyataan Perdana Menteri secara keseluruhan, beliau nyatakan pendirian tegas Malaysia melindungi kewujudan negara Palestin dan sehingga kini tidak pernah sekalipun mengiktiraf Israel.
“Hanya satu bahagian dari wawancara itu telah dipotong dan disebarkan memberi gambaran seolah-olah kerajaan Malaysia mengiktiraf Israel.
“Saya juga sedang meneliti dalam media sosial kenyataan atau kandungan yang masih menyebarkan maklumat fitnah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pasca mesyuarat kabinet di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular beberapa klip video yang tersebar di media sosial memperlihatkan Perdana Menteri seolah-olah mengiktiraf kedudukan negara haram Israel.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menyifatkan tindakan itu sebagai tidak adil berikutan Malaysia yang lantang menyuarakan isu kezaliman Israel namun ia tidak menjadi sebaran pihak berkenaan.
“Perdana Menteri telah beri penerangan mengenai hasrat Malaysia untuk bawa ke sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) usul keluarkan negara haram Israel dan ini langsung tidak disebut, ini sangat tidak adil,” katanya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.