
Oleh: Fatin Hanani Sahimi
PUTRAJAYA: Siasatan dalaman berkaitan dakwaan salah laku dikaitkan dengan pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki, berkenaan perolehan projek penerbitan bahan kreatif bernilai RM4 juta dijangka siap minggu hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa berkata, siasatan itu sedang dijalankan oleh pihak audit dalaman DBKL berkaitan isu terbabit.
“Tidak apa kalau saudara Afdlin menolak dan menafikan tuduhan tersebut itu hak beliau tetapi kita dari sudut tata kelola jabatan khususnya dan agensi-agensi di bawah jabatan kita kena melaksanakan yang sepatutnya lah. Siasatan sedang dijalankan dan saya menunggu hasil siasatan, kalau (Afdlin) tidak bersalah jadi tidak ada masalah.
“Tetapi jika ada apa-apa yang terkait maka kita akan ambil tindakan seterusnya. Semestinya saya tidak akan berkompromi dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan masalah salah laku dan juga tata kelola ini.
“Kita sentiasa berpegang dan ini juga disarankan oleh Perdana Menteri sendiri untuk sentiasa melihat tentang permasalahan tata kelola ini,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya 2025 di Taman Botani Putrajaya hari ini.
Menurutnya lagi Afdlin juga akan dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.
“Kita akan memanggil semua pihak dalam siasatan ini. Sebab itu saya minta supaya DBKL dan YWP melaksanakan siasatan ini sebaiknya, “ katanya.
Terdahulu media melaporkan DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif mengesahkan siasatan itu dan sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Semalam pelakon terkenal itu menafikan dakwaan salah laku tersebut melalui entri di Instagram (IG) yang memberitahu, isu dimainkan adalah agenda yang sengaja dilakukan untuk memburukkan namanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.